Pulang Lah, Nak

Balqis menangis teresak-esak di muka pintu kayu rumahnya. Bajunya basah dihujani peluh yang kian merenekdari tubuh badannya yang agak kurus itu. Puas sudah dia berlari ke sana dan ke mari namun tidak seorang pun yang ambil peduli. Badannya terasa amat letih sekali namun pilu di hati lagi hebat untuk di tanggung saat itu.  Matanya memandang sayu ke arah sekujur tubuh yang telah kaku di ruang tamu rumahnya.tubuh itu kaku di situ sejak pagi tadi lagi. Saat itu hari sudah mula merangkak ke senja namun satu kelibat jiran pun masih belum kelihatan.

Balqis kini berdiri kembali sambil menarik nafas mudanya sedalam yang boleh. Dia berhasrat untuk mencuba sekali lagi, biar pun dia terpaksa merayu menyembah kaki mereka, dia kini tidak peduli. Selipar jepun berwarna hijau di tangga rumah hanya dipandang kosong, tidak pula disarungkan ke kakinya malah Balqis terus berlari ke rumah jirannya yang paling hamper. Di situ Balqis melihat tuan rumah, Mak Jah sedang asyik membelek pokok-pokok bongsai kesayangannya. Balqis menghampiri tubuh tua itu.

“Mak Jah, tolong lah Balqis, Mak Jah. Mak Jah kan sayangkan Balqis macam anak MakJah. Tolonglah Balqis uruskan jenazah ayah. Ajaklah orang kampung”, rayu Balqis betul-betul di hadapan Mak Jah.

MakJah seakan memandangnya, namun cuma sekilas. Kemudian dia kembali membelek bongsainya yang sudah mula tumbuh merenek. Balqis kemudian terdengar deruan motosikal Pak Seman, suami MakJah memasuki perkarangan rumah. Lantas dia segera berlari mencuba nasib meminta belas Pak Seman.

“Pak Seman, ayah Balqis dah meninggal pagi tadi tapi tak siapa datang membantu. Tolong Balqis ye, Pak Seman”, pintanya hiba.

Namun, harapannya punah tatkala Pak Seman terus berlalu meninggalkannya, bahkan tidak sedikit pun Pak Seman menoleh ke arahnya, dengan ekor mata pun tidak. Balqis terduduk lesu memikirkan nasibnya.

Hati kecilnya meronta menahan amarah yang berbuku namun dipendamkan, agar dapat di usahakan mencari seseorang yang sanggup membantunya dengan ikhlas. Balqis bangun lantas berlari pula ke rumah Makcik Fidah.

“Assalamualaikum..”, Balqis memberi salam namun tiada jawapan.

Balqis berlari pula ke pintu dapur rumah batu bercat hijau muda itu. Kelihatan Makcik Fidah sedang sibuk menyediakan juadah minum petang untuk cucu-cucunya. 

“Makcik Fidah, Balqis ni. Tolong ayah, Makcik Fidah. Tolong bagitahu orang kampung ayah Balqis dah meninggal, tolong uruskan jenazahnya”, pinta Balqis.

Tetapi sekali lagi pintanya seakan tidak di terima, rayuannya tidak di dengari. Sudahlah tidak dipandang mukanya, Makcik Fidah dengan pantas menutup rapat pintu dapur seakan menidakkan kehadirannya di situ. Balqis terus teresak kuat.

Langit yang tadinya cerah kini bertukar mendung. Awan hitam mula berarak menyelubungi alam. Balqis menatap awam hitam pekat yang sudah berada di atas kepalanya. Ingatannya kembali kepada jasad ayah yang sudah tidak bernywa di rumah. Balqis segera berlari pulang.

Sesampai di rumah, segera di tutupnya semua jendela agar tiada tempias hujan yang terkena pada tubuh kaku ayah. Dia segera ke kamar ayahnya mengambil dua helai kain batik lepas peninggalan arwah emak. Ditutupnya jasad ayah yang makin menyejuk itu. 

Balqis sekali lagi terduduk lesu. Hatinya pilu mengenangkan tiada siapa yang mahu membantunya dua beranak. Sejak emak meninggal tiga tahun lepas, ayahlah segala-galanya bagi Balqis. Ayahlah tempat Balqis menagih kasih, mencurah rindu dan bercerita.

Setahu Balqis, ayah begitu baik dengan orang kampung malah orang kampung amat menyenanginya. Namun entah kenapa saat itu tidak seorang pun dari mereka segera datang membantu menghulur tangan walau sudah dirayu lebih dari sekali.

Tiba-tiba ingatan Balqis tertangkap pada musafir yang sentiasa singgah di surau kampungnya untuk memberi ceramah agama selama beberapa hari. Orang-orang beramal dengan ilmu agama seperti mereka pasti akan membantu menguruskan jenazah ayahnya. Balqis cepat-cepat menuruni anak tangga rumahnya dan berlari menuju ke surau dalam hujan yang kian lebat.

Balqis menghembus nafas kuat setelah sampai di pintu pagar surau itu. Dari luar, dia dapat melihat seorang lelaki tua dengan jubah putih dan berkopiah sedang duduk  memegang tasbih hitam di tangannya. Tanpa berlengah, Balqis segera mendapatkan lelaki tua itu.

“Assalamualaikum, pakcik”, suara Balqis lembut memberi salam.

Tangan lelaki tua yang sedang memegang tasbih di hadapannya terhenti namun matanya masih terpejam erat.

“Maafkan saya sebab mengganggu pakcik hujan-hujan macam ni. Saya perlukan pertolongan”, ujar Balqis lagi. 

Kali ini mata lelaki tua itu memandang tepat ke arahnya.

“Apa yang boleh aku tolong kau?”, suara garau lelaki tua itu masuk ke gegendang telinga Balqis. Hatinya gemuruh namun di kuatkan juga semangat.

“Pakcik, pakcik saja yang boleh tolong saya. Orang kampung dah taknak tolong saya, pandang saya pun mereka tak mahu. Di rumah, jenazah ayah saya takda siapa yang nak uruskan. Puas dah saya merayu tapi semua tak hiraukan rayuan saya. Tolonglah, pakcik. Kasihanilah saya”, rintih Balqis, esakannya mula kedengaran.

“Kau jangan nak main-main dengan aku”, balas lelaki tua itu.

“Tidak, pakcik. Ayah saya meninggal pagi tadi lagi. Saya bangun tengok ayah saya dah takda. Dari pagi saya minta tolong jiran-jiran tapi seorang pun tidak mahu membantu”, terang Balqis.

“Siapa nama kau?”, lelaki tua itu menyoal.

“Balqis...”, sepatah Balqis menjawab.

“Mana rumah kau?”, lelaki tua itu masih bertanya.

“Hujung simpang itu saja, rumah terakhir”, pendek jawapan dari Balqis namun jari telunjuknya menunjukkan arah ke rumahnya.

Lelaki tua itu segera bangun.

“Kau tunggu di sini”, ujarnya memberi arahan sebelum masuk ke dalam surau memanggil rakan musafir yang lain.

Balqis hanya menurut. Dia dapat lihat dari cermin tingkap surau lelaki tua itu seakan memberitahu ceritanya tadi kepada rakan yang lain. Ada yang mengangguk dan ada juga yang menggeleng.

Sebentar kemudian, merea bersama-sama bergerak ke rumah Balqis. Balqis hanya mengekori mereka dari belakang tanpa sepatah kata.

Sebelum sampai ke rumahnya, lelaki tua tadi mengajak Pak Seman, Pak Latif, Pak Abu, Mak Jah, Makcik Fidah dan beberapa orang kampung yang lain ke rumah Balqis, mereka dengan pantas menurut.

Sesampai di rumah, Balqis segera naik ke ruang tamu di mana jasad ayahnya tebaring kaku. Balqis melihat riak muka jiran-jirannya seakan hiba mmenatap jasad ayah yang membiru. Ingin sahaja Balqis menjerit memarahi mereka kerana tidak mempercayai kata-katanya, namun segalanya sudah tiada erti. Balqis hanya mampu bersyukur. Akhirnya jenazah ayahnya akan diuruskan dengan sempurna.

“Arwah tinggal dengan siapa?”, suara lelaki tua tadi kedengaran bertanya.

“Dia duduk sorang je, ustaz”, jawab MakJah.

Balqis mengerutka dahinya. Dia tidak faham kenapa MakJah seakan melupakan kehadirannya sedangkan MakJah lah yang selalu memanjakannya sejak arwah emak meninggal.

“Isteri dia dah meninggal tiga tahun lepas”, sambung MakJah lagi.

“Balqis?”, lelaki tua itu bertanya. Matanya memandang setiap satu wajah di hadapannya.

“Balqis? Macam mana ustaz kena Balqis?”, soal Pak Seman semula.

“Balqis anak arwah?”, lelaki itu bertanya kembali.

“Ye, ustaz. Balqis lah satu-satunya anak arwah. Balqis lah tempat dia memberi segala kasih sayang selepas isterinya meninggal. Budak tu baru 14 tahun masa dia meninggal enam bulan lepas, langgar lari waktu dia balik dari sekolah. Sejak tu lah arwah murung dan sakit. Sekali sekala saya dan suami datang tengok arwah, tapi hari ni tak pulak kami jenguk, tak sangka macam ni jadinya”, suara MakJah bergetar menahan tangis.

Balqis terkejut, lantas memandang wajah lelaki tua yang di panggil ustaz tadi dan ustaz turut memandang tepat ke matanya.

“Kau dah tahu kan? Pulang lah, nak. Pulanglah ke tempat selayaknya kau ada. Sini bukan tempat kau lagi. Insya Allah, saudara sesama islam ini akan segera menguruskan jenazah ayahmu. Pergilah, nak. Pergilah kau dari sini”, lembut tutur kata ustaz melafazkan setiap bait ayat itu.

Mata Balqis berkaca, air panas mengalir dari kelopak matanya. Kini dia sedar, tempatnya bukan lagi di situ.

“Terima kasih, pakcik”, lelaki tua itu mengangguk perlahan.

“Mari semua, kita uruskan jenazah”, itulah kata-kata terakhir yang menari masuk ke gegendang telinga Balqis.