Hati Lara Sofea


Lara menarik nafas panjang. Jendela kamarnya dibiarkan terbuka, membenarkan udara sear pagi itu menerpa terus ke mukanya. Hatinya masih tidak tenteram, perasaannya kian bercelaru. Adakah keputusan yang telah diambilnya itu salah? Adakah dia tidak redha dengan keputusan yang telah dibuat?. Pertanyaan demi pertanyaan berlegar di benaknya, bukan sahaja tika itu tetapi setiap denyutan nadinya belum tentu semua persoalan itu tidak menerjah masuk ke lubuk hati. 

Bunyi pintu bilik air terkuak menyebabkan Lara berpaling. Kelihatan Ehsan yang masih lagi bertuala keluar dari bilik air. Mata Lara memandang tepat ke arah wajah Ehsan namun pandangannya langsung tidak disapa sedikit pun oleh lelaki itu. Lara membetulkan bajunya yang di tiup angin tadi lalu berlalu ke almari pakaian Ehsan. 

“Baju kerja abang Lara dah gosokkan, Lara sangkut dalam almari ni”, ujarnya lembut. Ehsan masih tidak betah memandangnya.

“Lara ambilkan ye”, Lara masih bersuara.

“Tak perlu. Aku boleh ambil sendiri. Berapa kali aku nak bagi tahu kau, kau memang tak faham bahasa kan? Jangan kau ingat hati aku ni boleh berubah untuk perempuan macam kau”, Ehsan akhirnya bersuara. 

Namun kata-kata yang lahir dari bibirnya benar-benar merobek hati dan perasaan Lara. Lara masih mampu tersenyum. Dipandangnya Ehsan mesra.

“Kalau macam tu, Lara turun sediakan sarapan untuk abang”, dia mula mengatur langkah, meninggalkan Ehsan sendirian.

“Lara Sofea!!”, jerit Ehsan membuatkan langkah Lara terhenti.

“Kenapa kau sibuk sangat nak buat sarapan lah, itu ini bagai ni? Tu semua kerja bibik. Jangan sampai aku dijadikan alasan kalau kau lewat ke pejabat”, bahas Ehsan menzahirkan sikap protesnya ke atas Lara.

Penat hatinya bertanya sendiri, benci sangatkah Ehsan kepadanya?.

“Sebenarnya, Lara dah tak bekerja. Lara dah pun berhenti”, laju tutur Lara.

“What?!!”, dahi Ehsan berkerut.

“ Lara cuma nak luangkan lebih masa dengan keluarga”, ucap Lara perlahan namun jelas dapat didengari oleh Ehsan.

“Ok, fine! It’s up to you, not my business. Aku pun taknak ambil tahu semua tu. Tapi, don’t ever you blame me kalau kau menyesal dengan keputusan kau ni. Aku pun nak tengok sampai bila kau mampu bertahan”, fail di tangan lelaki itu dihempas kuat ke meja.

Lara terus berlalu ke tingkat bawah. Hati yang tercalar dengan ucapan tidak berlapik Ehsan tadi dibiarkan tidak dilayan. Lara segera ke dapur membantu bibik menyediakan sarapan pagi.

“Lara masak apa hari ni?”, suara lembut ibu mertuanya menyapa mesra.

“Ibu, Lara tak sempat pun masak. Ni tolong hidangkan aje. Bibik masak mi goreng. Ibu tunggu dekat meja makan ye, Lara hidangkan”, balasnya lembut.

Puan Rahimah mengangguk lalu berdar ke meja makan.

Lara menghidangkan sarapan pagi sambil berbual-bual dengan ibu mertuanya. Tiba-tiba pandangannya tertumpu kepada Ehsan yang baru sahaja turun dari tingkat atas. Hati kecilnya terusik. Kemeja yang dipakai Ehsan bukanlah yang digosoknya pagi tadi.

“Duduk, abang”, ujar Lara sambil menarik kerusi untuk suaminya.

Namun, suara dan perbuatan Lara seakan tidak didengari oleh Ehsan. Sekali lagi hatinya terusik. Ehsan beralih ke kerusi lain, yang bertentangan dengan ibunya. Beg pejabat mungkin sengaja di letakkan di kerusi bersebelahannya menyebabkan niat Lara untuk duduk di situ terbatal.
**************************************************
Lara memandang wajahnya di cermin. Dia berharap agar lakonan yang dilakonkan tidak mencuri perhatian sesiapa terutama ibu mertuanya, Puan Rahimah. Penting baginya untuk menjaga hati mertuanya itu. Wanita berusia lebih separuh abad itu sudah banyak berkorban wang ringgit untuk dirinya. Bermula dari bangku sekolah sehinggalah dia menamatkan pengajian di universiti, semuanya ditanggung oleh Puan Rahimah. Alangkah bertuah dirinya kerana dipertemukan dengan Puan Rahimah, wanita tabah yang tidak pernah sedikit pun membezakan kasih sayang buat seorang anak yatim sepertinya.

            Tatkala dilamar Puan Rahimah untuk dijodohkan dengan anak lelakinya yang baru enam bulan bergelar duda, Lara kehilangan kata-kata. Demi mahu menghapuskan rasa serba salah, dia cuba membuka pintu hatinya untuk lebih redha dengan persetujuan yang diputuskannya sendiri. Cuma itu sahaja yang tinggal untuknya membayar semua budi yang ditaburkan oleh wanita itu terhadapnya.

Namun, perasaan kesal berputik di hati tatkala akad yang dilafazkan Ehsan bukan dari keikhlasan hati Ehsan sendiri. Lebih mengecewakan, Ehsan juga membuat andaian serong terhadap keikhlasannya. Sungguh tidak masuk akal andai hanya dirinya yang dipersalahkan dengan akad yang telah pun tiga bulan berlalu. Masih terngiang-ngiang di benak Lara perbalahan yang berlaku antara dirinya dengan Ehsan malam tadi. Entah mengapa secara tiba-tiba Ehsan membangkitkan isu itu sekali lagi.

“Kenapa tiba-tiba kau setuju nak kahwin dengan aku? Sebab apa? Sebab kau anak angkat ibu? Dan kau baru sedar yang anak angkat tak punya hak ke atas harta ibu. Itu sebab kau nak kahwin dengan aku kan? Sebab kau memang perempuan mata duitan!”, bentak Ehsan kasar. 

Lara tergamam. Tidak di sangka sekejam itu tanggapan Ehsan terhadap dirinya. Hati Lara bagai di tusuk sembilu bisa yang sembuhnya entah bila.

“Lara dah tak punya banyak peluang untuk balas jasa ibu. Memenuhi permintaannya yang satu ini adalah peluang terbaik untuk membalas budinya. Lara minta maaf kalau abang rasa terpaksa dengan perhubungan kita ni”. Kata-kata Lara cukup tenang dilafazkannya, berbeza dengan perasaannya yang dilanda seribu kekalutan saat itu.

Ehsan memandang wajah Lara, penuh sinis.

“Ye, memang aku terpaksa! Aku terpaksa kahwin dengan perempuan macam kau disebabkan aku sayangkan ibu. Tapi kau jangan lupa, Lara. Kau takkan pernah sikit pun dapat menggantikan tempat arwah Lisa di hati aku”.

Peringatan Ehsan malam tadi entah yang ke berapa kali, Lara sendiri sudah tidak mahu mengira. Peringatan itu juga yang telah dilafaz oleh Ehsan pada hari pertama pernikahan mereka tiga bulan lepas.

Lara pasrahkan hati untuk terus bertahan, untuk kebahagian dan kegembiraan Puan Rahimah. Setiap kali di hadapan Puan Rahimah, Lara dan Ehsan pandai menyembunyikan gelora rumah tangga yang dihadapi sehingga tiada terlihat syak wasangka dari mertuanya.
**************************************************
Pintu bilik diketuk, menyebabkan Lara tersentak dari lamunan ngerinya.

“Lara...”, suara ibu kedengaran di sebalik pintu putih yang menyimpan seribu satu rahsia rumah tangga Lara dan Ehsan.

Lara pantas bangun, membetulkan rambutnya yang panjang lalu segera membuka pintu.

“Ye, ibu...”, Lara mempamerkan sebaris giginya yang tersusun rapi.

“Lara buat apa dalam bilik? Boleh ibu masuk?”, soal Puan Rahimah.

“Eh, masuk lah. Lara saja ambil angin dekat balkoni. Mari lah masuk, ibu”, Lara menarik mesra tangan Puan Rahimah.

“Ibu tak ada meeting club hari ni? Selalunya hari Isnin susah Lara nak jumpa ibu”, soal Lara mesra.

“Cancel. Esok pulak. Ibu dah siap dah tadi. Then, baru dapat call dari Datin Hasmah meeting cancel, tunda esok”, balas Puan Rahimah kembali.

Mereka lantas duduk di balkoni menghadap laman rumah yang kelihatan kehijauan dari tingkat atas banglo itu. Tangan Puan Rahimah memegang erat tangan Lara, satu-satunya menantu dalam hidupnya.

“Lara, ibu nak tanya ni. Lara bahagia tak?”, Lara memandang wajah Puan Rahimah, agak terkejut dengan pertanyaan ibu mertuanya itu. 

“Bahagia ibu. Lara bahagia kat sini. Kenapa ibu tanya Lara soalan macam tu?”, balas Lara, ingin tahu.

“Lara, jangan ingat ibu tak nampak apa yang berlaku, sayang. Ibu tahu, ibu nampak dan ibu rasa”, dia menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-katanya.

“Dalam tempoh tiga bulan ni, ibu hanya berdiam. Ibu tak pasti apa yang berlaku walaupun ibu nampak ada yang tak kena. Tapi malam tadi ibu dah dengar segalanya, Lara. Ibu minta maaf disebabkan ibu lah hidup Lara jadi terseksa macam ni”, ujar Puan Rahimah dengan suara yang kian bergetar.

Lara memandang tepat ke wajah ibu mertuanya. Air matanya mula bergenang. Perasaan bersalah mula menyelinap masuk ke segenap sanubari. Rahsia yang selama ini dianggap barjaya disembunyikan rupa-rupanya sudah dapat dihidu oleh Puan Rahimah.

“Ibu...”, suara Lara bagai tersekat di kerongkong, terasa perit di tekaknya tika itu.

“Lara minta maaf, ibu. Lara dah cuba buat yang terbaik untuk abang Ehsan, tapi mungkin tak cukup sempurna buat dia. Lara bersalah pada ibu”, kata-kata Lara diselangi dengan esak yang semakin kuat. Puan Rahimah segera memeluk erat menantu kesayangannya itu.

“Kalau Lara tak bahagia, tinggalkan lah Ehsan”, Puan Rahimah bersuara perlahan.
Lara terkedu. Dipandangnya wajah mulus Puan Rahimah lama, kemudian dia menggeleng.

“Tidak, ibu. Lara takkan sesekali tinggalkan abang Ehsan. Lara isterinya, ibu. Syurga Lara di telapak kakinya kini. Lara sanggup menahan semua ni, ibu. Lara akan terus berusaha agar abang Ehsan dapat terima Lara satu hari nanti”, ujarnya penuh ikhlas.

Keikhlasan tutur Lara Sofea membuatkan air mata Puan Rahimah mengalir deras.

“Terima kasih sayang sebab masih belum mengalah dengan sikap angkuh Ehsan. Tapi, andai kata satu hari nanti Lara dah tak mampu bertahan, jangan teruskannya, nak. Pergilah. Ibu mengerti tindakan Lara”, dahi Lara dikucup penuh kasih sayang.
**************************************************
Kot yang baru sahaja ditanggal oleh Ehsan dilempar kasar ke dinding. Lara yang baru selesai solat Asar terkejut dengan tindakan lelaki itu. Namun hatinya dipujuk agar sentiasa tenang.

“Abang baru balik? Lambat balik hari ni?”, soalnya mesra sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Ehsan. Tangan yang dihulur tidak bersambut. Hanya lirikan mata yang tajam menerpa ke wajah polos Lara.

“Puas hati kau?”, soal Ehsan kasar.

Dahi Lara berkerut, tidak mengerti dengan persoalan yang diaju kasar kepadanya itu.

“Kau sengaja bagitahu ibu tentang kita, kan? Kau sengaja nak sakitkan hati aku, kan?”, semakin banyak persoalan yang diutarakan oleh Ehsan.

Barulah Lara faham keadaan sebenar yang menyebabkan suaminya itu naik berang. Ibu mertuanya pasti menemui Ehsan dan membincangkan perkara ini sepertimana isu itu dibincangkan dengannya tadi.

“Abang...”, ucap Lara perlahan.

“Hal rumah tangga, takkan tergamak untuk Lara ceritakan pada orang lain. Apatah lagi ibu, insan yang Lara sanjung. Hendak mengguris hati ibu pun Lara tak sanggup, apatah lagi menikam terus ke dadanya dengan masalah yang kita hadapi. Ibu terdengar kita berbincang semalam, abang”, Lara menarik nafas panjang, mencari kekuatan untuk meneruskan katanya.

“Ibu datang pada Lara. Ibu ceritakan yang dia terdengar apa yang terjadi antara kita semalam. Tak lebih dari itu. Lara sendiri pun terkejut, abang”. Sambung Lara menahan sebak.

“Dan kau... memburukkan aku, bukan? Kau nak menjatuhkan aku, anggap aku lelaki dayus sebab tak pernah sentuh kau kan?”. Amarah Ehsan masih belum reda. Dia masih mencari salah Lara.

Lara terdiam. Air matanya mula mengalir laju ke pipi. Sendunya mula kedengaran.

“Kau sengaja nak menyusahkan hidup aku kan, perempuan tak guna?”, bentak Ehsan keras.

Kali ini kata-kata Ehsan benar-benar meninggalkan kesan luka yang dalam di hati Lara. Tidak sanggup dia mendengar cacian yang menghinanya lagi. Hatinya tiba-tiba tekad untuk memberitahu segala kebenaran yang telah lama dia simpan jauh di dasar hati.

“Abang...!!”, suaranya sedikit lantang.

Ehsan berpaling menghadapnya dengan muka yang menahan amarah.

“Sikit pun tak terlintas di hati Lara ni untuk menyusahkan abang. Tak ada setitik pun perasaan Lara ni untuk membolot semua harta abang”, sambungnya dalam sendu.

“Habis, keapa kau terima nak kahwin dengan aku kalau bukan sebab harta? Kenapa kau rela jual diri kau pada ibu, pada aku?”, bidas Ehsan lancar.

“Sebab ibu, sebab arwah ayah abang, sebab wasiat yang arwah tinggalkan!”, akhirnya Lara bersuara.

Ehsan terdiam. Matanya beralih ke luar jendela.

“Lara banya berhutang budi dengan ibu. Ibu memang tak pernah minta Lara membalasnya tapi hati Lara tak senang selagi tak dapat membalas budi ibu. Wasiat yang arwah ayah abang tinggalkan juga adalah untuk abang mengambil Lara sebagai isteri abang yang sah. Ibu tahu abang akan membantah wasiat tu. Sebab tu ibu minta pada Lara untuk bersetuju. Dan bagi Lara, hanya itu jalan yang Lara dapat ambil untuk membalas jasa ibu. Tapi, Lara ikhlas, abang. Lara ikhlas menjadi isteri abang”, Lara berdiri lesu di tepi katil sambil matanya memandang susuk tubuh Ehsan yang membelakanginya.

Lara melihat Ehsan memegang kepalanya berkali-kali kemudian berpaling menghadap Lara.

“Banyak lagi cara untuk kau balas jasa ibu. Tapi kenapa kau mesti libatkan aku?”, Ehsan masih belum puas.

“Memang banyk lagi cara, abang. Tapi Lara tak punya banyak waktu untuk mencari cara lain”, jawab Lara perlahan, dia mengeluh berat.

“Maksud kau? Aku tak faham”, soal Ehsan.

“Tolong lah, abang. Tolong lah bertahan dalam hubungan kita ini. Bukan untuk selamanya abang kena lalui semua ni”, akhirnya Lara bertekad untuk memberitahu kebenaran kepada Ehsan.

Ehsan masih lagi memandang Lara yang setia memandangnya sedari tadi.

“Lara tak punya banyak masa dah, abang. Lara takkan hidup lama. Bila-bila masa saja kanser dalam tubuh Lara ni akan meragut nyawa Lara. Sebab tu Lara tak punya banyak peluang untuk mencari cara lain membalas budi ibu”, terang Lara.

“Lara tahu, Lara sedar sejak mula lagi yang abang takkan terima Lara. Tapi, hari ni Lara merayu pada abang. Bertahan lah untuk sementara supaya Lara tak mengecewakan ibu. Itu saja yang Lara minta. Tolong lah buat semua ni untuk kebahagiaan ibu”, Lara mengesat air matanya yang mengalir di pipi yang sedikit kemerahan itu. Dia kemudian membuka pintu bilik dan berlalu ke tingkat bawah, meninggalkan Ehsan termangu tanpa sebarang kata di tepi jendela.

Jauh di sudut hati Lara mengharapkan pengertian dari lelaki yang bernama Ehsan Al-Taufiq bin Dato Alwi Izam itu.



-TAMAT-