Kaki Kayu


Keriuhan tapak pesta yang tidak sampai sedepa dari rumah Muadz benar-benar menggamit hati kecilnya untuk berlari ke sana. Dari anjung rumah kayu itu, Muadz boleh menangkap dengan kedua matanya yang agak bulat cahaya neon yang indah begemerlapan menyinari pesta di kampungnya saat itu. Jiwa kecilnya seakan meronta mahu ke sana, bersama-sama berkongsi kemeriahan pesta yang jarang-jarang ada di kampungnya yang boleh dikatakan agak terpencil dan jauh dari bandar.

Sesekali matanya terarah kepada bunga api yang menari di dada langit dengan keindahan warnanya. Kadang kala pula matanya ligat melihat telatah kanak-kanak lain sebayanya berlari ke pesta tersebut, seakan tidak jejak ke tanah langkah mereka.

Muadz tersenyum sendirian. Dia sedar walau sekuat mana pun hatinya melonjak ingin pergi, pasti ibu tidak akan mengizinkannya. Hendak ke bilik air bersendirian pun di bebel ibu sepanjang hari, apatah lagi ingin bersuka ria ke tapak pesta sebegitu, yang semestinya di penuhi oleh orang-orang kampung.

Muadz terkenang, pernah satu ketika dia menarik muka masam tatkala ibu segera memimpinnya ketika dia bersedia untuk membasahkan badan pada suatu petang.

“Muadz boleh buat sendiri, ibu. Muadz dah besar”, teganya tika itu.

Ibu tidak membantah, di biarkan sahaja Muadz ke pintu bilik air sendirian. Namun, Muadz tahu dan yakin benar setiap gerak gerinya di pantau oleh ibu dari ekor matanya. Muadz mengerti bahawa ibu amat bimbang jika dia melakukan segalanya sendirian, tetapi bagi Muadz, biar dia cuba dengan usahanya sendiri.

Lamunan Muadz terhenti seketika tatkala bunyi kuat mercun menerjah masuk ke gegendang telinganya. Bibirnya mengukir senyuman. Kemudian dia terpandang pula sesusuk tubuh yang sudah berdiri dihadapannya sambil tersengeh menampakkan sebaris giginya yang agak kekuningan.

“Ha, Atan. Kau nak ke sana juga?”, Muadz segera menyoal.

Atan hanya mengangguk laju, tanpa sebarang bicara.

Atan merupakan cucu kepada Nek Jimah, jiran Muadz. Umurnya lebih tua daripada Muadz tetapi kelakuannya mengalahkan budak-budak berusia enam tahun. 

“Kau tak pergi?”, tiba-tiba Atan menyoal. Muadz hanya membalasnya dengan senyuman.

“Aku tahu kau tak pergi. Mak kau tak bagi kau pergi sana kan?”, sambung Atan, sambil menggaru-garu kepalanya.

Muadz hanya mengangguk.

“Aku agak dah. Kalau aku pujuk mak kau pun, mesti tak jadi punya lah. Tapi takpe, kalau aku ada duit lebih, nanti aku belikan kau choki-choki, ye?”.

Muadz masih mengangguk.

“Aku pergi ni. Kau jangan tidur lagi, nanti aku bawak balik choki-choki”, pesan Atan tatkala mula melangkah laju ke tapak pesta itu. Muadz hanya menghantarnya dengan ekor mata sahaja.

Atan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat bin Sulaiman adalah insan yang paling rapat dengannya. Walaupun Atan ada mengalami sedikit gangguan mental, namun dia sangat menghargai persahabatan mereka yang terjalin sejak kecil lagi. Sikap Atan itulah yang membuatkan Muadz senang bersahabat dengannya.

Usia mereka berdua tidak jauh beza. Kata ibu, mereka lahir pada bulan yang sama namun tahunnya sahaja yang berbeza. Atan di lahirkan awal setahun dari Muadz. Kata ibu lagi, mungkin di sebabkan kami lahir pada bulan yang sama, kami boleh senang berkawan.

Pernah juga Muadz bertanya kepada ibu, mengapa Atan dijaga oleh neneknya, bukan ibu bapanya sepeti ibu menjaga dirinya. Ibu hanya tersenyum membalas pertanyaan Muadz. Sehingga ke saat ini, Muadz belum mendapat jawapan yang benar-benar memenuhi kehendak hatinya. Namun, setelah beberapa kali di tanya dan jawapan yang ibu berikan hanya senyuman, Muadz sudah berhenti untuk bertanya. Di biarkan sahaja persoalan itu berlegar-legar di mindanya.

“Kau dah tidur ke, Muadz?”, suara Atan melaung kuat.

Muadz berpaling ke arah Atan yang berdiri betul-betul di tempatnya berdiri tadi, tidak seinci ke hadapan dan tidak seinci ke belakang. Tetapi kini di tangannya memegang tiga batang choki-choki seperti yang dijanjikan tadi.

“Belum lah, Atan. Itu apa? Choki-choki untuk aku?”, soal Muadz terjerit sedikit.

Atan tersengeh, lalu mengangguk.

“Boleh ke aku naik ke sana? Mak kau tak marah aku?”, Atan meminta kepastian.
Muadz tersenyum sendiri.

“Ah, kau ni Atan. Bukan baru sehari dua kau kenal aku. Ibu aku tu, bukan kau tak tahu dia juga sayangkan kau”, balas Muadz sambil memberi isyarat tangan agar Atan duduk di sisinya.

Atan hanya menurut.

“Nah, aku janji nak bagi kau choki-choki tadi. Aku beli tiga. Kau satu, aku satu. Ha, yang ni aku nak bagi hadiah kat nenek aku sebab dia bagi duit belanja aku nak ke pesta tadi”, terang Atan sambil memasukkan satu daripada choki-choki di tangannya ke dalam poket seluar yang agak lusuh.

“Eh, kau makan lah ye, Muadz. Sedap tuh. Sebelum beli tadi aku tanya Wak Seman tu sedap ke tak. Dia kata sedap. Kalau tak sedap tadi aku tak beli dah. Ni aku nak balik ni. Nak hantar choki-choki kat nenek aku. Nanti aku nak ke pesta semula. Seronok”, Atan bersuara semula.

Dia terus berlari laju ke rumahnya yang hanya selang beberapa langkah dari anjung rumah Muadz. Muadz hanya tersenyum. Belum sempat dia berkata walau sebaris ayat, Atan sudah hilang dari pandangan matanya.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Muadz, siapa yang datang tadi tu? Ibu dengar Muadz bercakap tadi?”, suara ibu lembut menyapa dari belakang.

Bahu Muadz di sentuh mesra, penuh kasih-sayang.

“Atan, ibu. Ni ha, dia bagi Muadz choki-choki dari pesta tu”, jawab Muadz tersenyum memandang wajah ibunya.

“Oh, bagus lah, Ingat juga Atan nak beli sesuatu untuk Muadz. Ni Muadz tak nak masuk lagi? Kalau nak, ibu tolongkan”, kata ibu perlahan.

“Tak apa lah, ibu. Sekejap lagi Muadz masuk sendiri. Saja Muadz nak tengok bunga api dari sini. Cantik je, ibu”, Muadz menjawab sopan.

“Kalau macam tu tak apa lah. Tapi jangan lama-lama sangat kat luar nih. Dah nak dekat pukul sebelas dah. Ibu masuk dulu. Ada apa-apa, Muadz panggil ibu ye”, balas ibu mesra sambil mengucup lembut dahi Muadz. Muadz hanya mengangguk perlahan.

Mata Muadz masih lagi terarah ke pesta itu. Namun, apa yang mampu dilakukan hanyalah melihat kemeriahan tersebut dari anjung rumahnya sahaja. Muadz seakan tidak sedar melepaskan satu keluhan yang amat berat, mungkin hampa mengenangkan nasibnya tika itu.

Muadz menoleh melihat ke jam dinding rumahnya, sudah hampir ke jam sebelas. Badannya juga sudah terasa gatal-gatal akibat dek penangan gigitan nyamuk dari bawah rumah.

Lantas Muadz mencapai tongkat kayu yang setia tersandar di tepinya. Di kepitkan kedua-dua tongkat itu ke ketiak. Muadz sedaya upaya cuba mengangkat dirinya dengan bantuan tongkat kayu itu.

Ya, tongkat kayu itu yang banyak berjasa kepadanya selama 12 tahun hidupnya kini. Tongkat kayu itu adalah peneman setianya. Tongkat kayu itu  juga adalah ‘kakiknya’ untuk terus melangkah bebas ke sana dan ke mari dengan semahunya.

Benar kata Atan kepadanya satu tika dahulu,

“Kau power lah. Orang lain semua kaki biasa je tapi kau kaki kayu. Kan istimewa tu”.

-TAMAT-