Aku Bahagia Begini

“Along, aku lapar lah…”, rungut Aiman tatkala duduk bersila di sebelahnya di serambi rumah.

Akhbar memandang tepat wajah adik keduanya itu.

“Angah lapar ek. Ibu balik lambat lagi ni. Jom la tolong along kat dapur”. Ujarnya lantas bangun menuju ke dapur. 

Aiman mengekorinya dari belakang.

“Along nak pergi mana tu?”, soal Aizat, adik ketiganya yang berusia lima tahun. Langkahnya terhenti lantas bibir mengukir senyum mesra ke arah adiknya.

“De lapar tak? Along nak masak maggi goreng ni”, ucapnya sambil menepuk lembut bahu Aizat. Aizat mengangguk laju.

“Along,kau boleh ke masak ni?”soal Aiman sambil dia terkial-kial mengupaskan bawang untuk abang sulungnya. Akhbar tersenyum lagi.

“Ape, angah ingat along ni tak boleh masak ke? Along dah lama tau belajar masak dari ibu”, jawabnya masih lagi tersenyum.

“Iyela tu along, tak caye aku. Kau pun kecik jugak lagi macam aku. Nanti ibu marah kita main api. Ibu cakap budak kecik macam kita mana boleh main api, along”, suara Aiman makin meninggi.

“Angah, along ni dah sembilan tahun tau. Along pandai la masak. Masa angah kecik dulu, masa De ngan adik lum lahir lagi, along la yang masak tuk angah”. Akhbar membalas, membela diri.

“Yela tu Long. Aku caye la Long. Nah, bawang siap. Cepat la masak Long. Aku lapar betul dah ni”, rintih Aiman.

Akhbar hanya mengangguk. 

“Angah pergi main ngan De kat depan. Tengokkan adik sekali, nanti lepas ke lebuh lak adik tu. Dah siap nanti Along panggil”. Aiman menuruti perintah abang sulungnya itu. 

Dia bergegas berlari ke halaman rumah semula.
*************************************************************************************
“Abang, kenapa termenung ni?”, lamunan Akhbar tersekat di situ. Tangan lembut isterinya di bahu di sentuh lembut.

“Takde ape la sayang, Haziq ngan Hazim mane?”, soalnya pula sambil mata terus tercari-cari pasangan kembar kesayangannya itu.

Sofiah tersenyum. “Nampak sangat memang abang ni tengah mengelamun dari tadi. Kan Sofiah minta izin abang nak hantar Haziq dengan Hazim pergi rumah mama Sofiah”.

Akhbar menepuk dahinya perlahan. “Yela sayang, abang lupa. Abang kan dah tua”, selorohnya sambil mencubit manja pipi Sofiah. Mereka tergelak.

“Abang, Sofiah nak tanya sikit ni, macam mana dengan mak abang tu? Abang dah fikirkan cadangan mama?”, soal Sofiah, perlahan.

Akhbar diam.

“Abang, ada baiknya jugak cadangan mama tu. Sekurang-kurangnya ada orang nak jaga mak abang kalau kat sana”, tambah Sofiah. Akhbar memandang Sofiah di sisinya.

“Kalau mak abang kat sini, Sofiah tak dapat jaga dia?”, duga Akhbar.

“Sofiah kan kerja juga, abang. Sofiah tak sempat nak uruskan semuanya sekali”, Sofiah menarik muka masam, tidak lagi memandang wajah suaminya.

“Dia mak abang, sayang”, lembut Akhbar menyatakannya.

“Sofiah tahu dia mak abang tapi bukan kita tak nak ambil berat tentang dia. Kita boleh melawat dia tiap-tiap hari,” bantah Sofiah.

“Tapi itu bukan ambil berat namanya, Sofiah. Itu membuang ibu sendiri, sikap lepas tangan,” suara Akhbar mula kedengaran agak tegang.

“Habis, masa abang kecil ada mak abang ambil berat pasal abang? Pasal adik-adik abang?”, Sofiah terus berlalu pergi tanpa menunggu jawapan dari Akhbar.

Akhbar mengeluh berat. Fikirannya mula kusut memikirkan cadangan ibu mertuanya agar menghantar ibunya sendiri ke rumah orang-orang tua di sebabkan penyakit Alzheimer yang dialami ibunya. 

Akhbar membantah sepenuhnya cadangan itu tanpa mempertimbangkannya namun masih belum disuarakan kepada Sofiah dan yang lain. Hatinya berat melepaskan ibu tersayang untuk dijaga oleh orang yang tidak dikenalinya.

Sofiah masih lagi mengungkit kisah lama yang pernah diceritakan olehnya, tentang zaman kanak-kanak dan remaja yang tidak pernah dinikmati kerana tanggungjawab terhadap adik-adik dan urusan rumah. Kenangan lama terimbau kembali di benak Akhbar.
*******************************************************************************
“Along, hari ni jaga adik-adik, ibu nak pergi menjual dekat tepi sekolah sana”, ujar ibunya suatu pagi sewaktu Akhbar sedang sibuk menyusun buku-buku sekolahnya.

“Tapi ibu, Along kan sekolah hari ni. Minggu lepas dah tiga hari Along tak pergi sekolah, takkan minggu ni along tak pergi lagi, ibu”, ujarnya tidak puas hati.

“Along, along tolong la ibu ni. Ibu nak pergi menjual. Adik-adik sape nak jaga. Along tak payah pergi sekolah. Nanti ibu bagi upah jaga adik-adik”, balas ibunya sambil menyusun barang-barang untuk dijual ke dalam kereta.

Akhbar tertunduk lesu. Dia hampa. Hasrat untuk ke sekolah hari itu terpaksa dibatalkan.  Akhbar memandang wajah adik-adiknya yang masih lagi nyenyak di buai mimpi. Dia tersenyum tawar. Buku-buku diletakkan semula di dalam bakul, beg sekolah pun di simpan semula di dalam kotak, tepi katilnya. Akhbar membuka jendela, menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Kelopak matanya terasa panas, seakan menanti titisan air jatuh ke pipi. Akhbar memejamkan matanya, menahan sendu di hati.Hatinya begitu bersemangat hendak ke sekolah hari ini. Semalam Haris datang bermain di rumahnya, memberitahu hari ini Cikgu Badrul akan memilih wakil Tahun 3 bagi acara bola sepak. Akhbar teringin benar menunjukkan ketangkasannya bermain bola. Namun, segalanya hancur berkecai. Titisan jernih yang cuba ditahan jatuh juga akhirnya ke pipi.

“Along, ibu pergi ni, adik-adik bangun nanti bagi makan, ibu dah siapkan atas meja tu. Ibu pergi ye along”, terdengar suara ibunya menjerit di halaman rumah sebelum mendengar deruan enjin kereta berlalu pergi.
************************************************************************
“Encik Akhbar, ibu encik tidak mahu makan”, suara bibik mengejutkan lamunan Akhbar.

“Apa dia, bibik?”, soalnya kembali.

“Ibu encik tidak mahu makan. Puas dah saya suruh tapi dia tidak mahu juga, encik”, adu bibik semula. 

Akhbar bingkas bangun dari kerusi kayu di halaman rumah, bergegas ke tingkat dua rumah banglo itu. Pintu bilik ibunya di kuak perlahan.

“Ibu, bibik cakap ibu tak nak makan, ye bu?”, lembut suara Akhbar sambil tangannya mengusap lembut rambut ibunya yang sudah beruban.

“Bibik tu, ibu cakap nak Along yang suapkan tapi dia degil nak suapkan jugak. Ibu nak along suapkan ibu. Along suapkan ibu ye”, balas ibunya merengek, memandang bibik yang berada di sisi katil sekilas.
Akhbar tersenyum.

“Iye ke, bu. Takpe, nanti along marah bibik, ye bu,” Akhbar memandang bibik dengan senyuman yang sengaja di tahan. Bibik tersengeh.

“Meh kita makan ye. Along suapkan ibu macam ibu suapkan along kecil-kecil dulu,” katanya sambil tangan menyuapkan nasi bubur kepada ibu tersayang.
************************************************************************
Akhbar memandang Sofiah yang masih lagi menyisir rambutnya di meja solek. Sejak petang tadi Sofiah mendiamkan diri, sampailah ke saat ini.

“Sayang, sayang marahkan abang lagi?”, soalnya perlahan.

Sunyi sepi....

“Abang tahu sayang marahkan abang, tapi abang harap sayang faham keadaan abang. Mungkin sayang tak pernah lalui ape yang abang lalui sebelum ni, tapi semua yang abang lalui tu menjadikan siapa abang hari ini”, ujarnya perlahan.

“Abang minta maaf kat sayang ye. Abang berdoa satu hari nanti sayang faham”, sambung Akhbar lagi. 

Sofiah menoleh.
“Apa salahnya kita hantar mak abang ke sana?”, aju Sofiah tanpa berfikir panjang.

“Abang tak ingat ke apa yang mak abang dah buat? Abang pernah terfikir tak kenapa adik abang, si Aiman tu mati dulu!”, sambung Sofiah membuatkan Akhbar bangun dari pembaringan. Di pandangnya Sofiah, lalu melangkah ke halaman rumah.

Akhbar mengeluh lagi. Matanya memandang langit yang dipenuhi bintang malam itu. Suara si kembar bermain sudah tidak kedengaran lewat malam itu, mungkin penat agaknya bermain di rumah Atuknya siang tadi. 

“Angah...,” jelas kedengaran getar di suaranya. Kenangan itu masih jelas dalam ingatan Akhbar.
*****************************************************************
“Along, aku boring lah. De ngan adik tidur, jom lah main ngan aku,” pinta Aiman suatu petang.

Akhbar tidak menghiraukan Aiman yang masih duduk di sisinya. Kerja sekolah yang diberi oleh cikgu di sekolah tadi perlu disiapkan segera. Bila ibu balik nanti pasti Akhbar sudah tidak sempat menyiapkan kerja itu. Mana tidaknya, Akhbarlah orangnya yang mesti menolong ibu mengangkat barang, membasuh pinggan dan mengira untung hasil jualan ibu untuk hari ini. Sebelah malam pula Akhbar jugalah yang harus menolong ibu menyediakan segala persiapan untuk berniaga esok hari.

“Long, ko ni takde telinga ke? Aku ajak teman aku main,” ucap Aiman lagi.
Kali ini Akhbar memandang tepat wajah adiknya itu.

“Angah, tak nampak ke along tengah buat apa ni? Lagipun angah ni asyik main je. Bila masa angah nak baca buku? Dah besar nak jadi ape? Takkan duduk rumah je”, marah Akhbar.

Aiman mencebik, “Ala, aku taknak jadi besar. Orang besar ni asyik sibuk je. Macam ibu tu. Mane ade masa ngan aku. Dah la kite ni takde ayah dah. Along tengoklah, aku takkan jadi besar punya,” balas Aiman.

“Bila along cakap sikit mula lah angah marah kat along. Ni angah kacau along wat keje, along pun tahu rasa marah. Dah lah, gi main jauh-jauh”, balasnya kasar.

“Yelah Along. Aku tak kacau kau dah lepas ni. Tengok lah”, balas Aiman lantas berlalu menuju ke luar rumah.

Akhbar menggeleng lalu menyambung kerja sekolah yang sedang di buat. Sejam lebih Akhbar tekun menyiapkan kerja sekolahnya untuk hari itu.

“Siap”, ucapnya sambil tersenyum.

Akhbar memandang sekeliling, sunyi sepi. Dia bangun menjenguk ke bilik sebelah, kedua-dua adiknya, Aizat dan Afif masih lena. Akhbar tercari-cari Aiman namun kelibatnya tidak kelihatan.

“Angah!”, laung Akhbar, berharap ada suara yang akan menyahutnya namun sunyi sepi.

Akhbar berlari ke luar rumah memandang sekeliling, tiada sedikit pun nampak kelibat Aiman. Kemudian dia berlari ke belakang rumah, kosong...

“Angah, angah kat mana!”, laungnya lagi. Namun masih sepi.

Akhbar masuk semula ke dalam rumah, duduk di atas sofa merah rumahnya. Dia termenung, memikirkan Aiman. Entah bila dia sendiri tidak sedar, dia tertidur di situ.
=================================
“Along....bangun Long...”, terdengar suara hiba ibu di cuping telinga. Badannya di goncang lembut. Akhbar membuka mata, digosok matanya berkali-kali. Susuk tubuh ibu dihadapannya dipandang, ada air jernih mengalir di pipi ibunya. Ibu menangis. Akhbar bingkas duduk tatkala teringatkan Aiman.

“Bu, angah takde tadi. Puas along cari, dia takde. Dia dah balik ke? Along nak marah kat dia sebab pergi main jauh-jauh”, ujarnya sambil mata tercari-cari kelibat Aiman.

Ibunya lantas memeluk tubuh kecilnya erat.
“Ibu mintak maaf, Along. Angah dah takde Long. Semua salah ibu. Ibu tak jaga anak-anak ibu. Angah dah takde”, rintih ibunya. 

Akhbar terpinga-pinga, belum faham dengan apa yang berlaku.

“Mana angah, bu?Dia takde pergi mana?”, soal Akhbar mencari kepastian.

“Long, Angah kena patuk ular dekat hujung kampung sana, Long. Pak Mail jumpa dia, dah tak bernyawa Long... Semua salah ibu Long, Angah dah meninggal, dah mati”, berderau darah Akhbar mendengarnya.

Fikirannya mula terbayang semula kata-kata terakhir yang angah luahkan kepadanya tadi. Akhbar teresak-esak menangis mengenangkan Aiman sudah tiada. Suaranya makin kuat. Ibu yang sedari tadi di hadapannya memeluk tubuh Akhbar erat.
***********************************************************
Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Akhbar sudah selesai mandi, hanya menunggu azan berkumandang untuk menunaikan solat subuh pagi itu.

 Hari Sabtu kebiasaannya Akhbar akan membawa ibu melawat Aizat yang masih menuntut dalam Tahun kedua di UiTM Shah Alam dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian dia akan ke destinasi seterusnya di Pusat Serenti Sungai Besi, yang menempatkan Afif di situ. 

Afif, adik bongsunya itu sudah jauh tersasar dan bergelumang dengan najis dadah sejak 2 tahun lepas. Seingat Akhbar, sejak sekolah menengah, Afif sudah tidak berminat untuk belajar. Afif hanya sempat mengambil PMR, itu pun atas desakan Akhbar. Jika tidak, tentu sekali Afif sudah tidak bersekolah sejak berumur 13 tahun lagi. Selepas PMR, Afif bertegas tidak mahu meneruskan pembelajarannya. Dia mahu bekerja, cari duit sendiri, mahu berdikari katanya. Akhbar tidak membantah, tidak mahu mengongkong kehidupan adiknya sendiri. Akhbar membenarkan Afif mengikut rakannya bekerja di Johor Bahru. Setahun di Johor, Afif masih lagi menghubungi Akhbar namun, selepas itu, segalanya berubah. Tiada lagi panggilan telefon dan tiada lagi khabar dari Afif. 

Namun, kuasa Allah maha Besar, tiga bulan pertama selepas terputus hubungan dengan Afif, Akhbar mendapat panggilan telefon dari polis di Johor mengatakan Afif di tahan semasa sedang menghisap dadah. Afif di masukkan ke Pusat Serenti di Johor sebelum di pindahkan ke Sungai Besi.  

Aizat pula, sedang mengikut jejak langkahnya, bakal menjadi seorang jurutera sepertinya. Aizat sangat rajin berusaha. Akhbar nampak semangat dan kesungguhan Aizat dalam menimba ilmu pengetahuan. Dia suka ke sekolah. Waktu kecil dulu, jika ibu tidak dapat menghantarnya, dia rela berjalan kaki 20 minit ke sekolah. Itu lah, Aizat. Adik ketiga Akhbar yang sangat mementingkan kejayaan dalam hidupnya sendiri. Namun, satu sifat Aizat yang sukar diterima Akhbar, Aizat tidak akrab dengan ibu. Aizat lebih rela bermanja dengan ibu angkatnya dari ibu sendiri. Aizat lebih suka beraya dengan ibu angkatnya dari ibu yang melahirkannya ke dunia. Aizat lebih suka Akhbar melawatnya setiap minggu tanpa membawa ibu. Namun Akhbar tidak peduli apa kata Aizat, ibu tetap di dahulukan. Tanpa ibu, Aizat tidak akan dapat merasai nikmat dunia yang dia rasai saat ini.

Azan berkumandang sayup menusuk ke sanubari Akhbar yang termenung di jendela. Akhbar menoleh memandang Sofiah yang baru sahaja keluar dari bilik air. Sofiah membalas pandangan Akhbar, kemudian tersenyum nipis.

“Abang, kita berjemaah ye?”, pinta Sofiah. Akhbar tersenyum bahagia lantas mengangguk laju. Hatinya lega melihat kemarahan Sofiah malam tadi sudah reda. Merka menunaikan solat subuh berjemaah pagi itu.

Selesai solat, Sofiah mencium tangan suaminya. Air matanya menitis, menyesali perbuatannya malam tadi.

“Sofiah minta maaf pada abang sebab berkasar dengan abang malam tadi. Sofiah berdosa pada abang. Maafkan Sofiah ye”, ujarnya menahan tangis.

Akhbar mencium mesra dahi Sofiah. Dia mengesat air mata di pipi Sofiah.
“Takpe lah sayang, abang faham, abang maafkan”, dipeluk bahu Sofiah erat.

“Hari ni kita melawat Aizat dengan Afif kan?”, soal Sofiah sebelum dia berlalu turun untuk menyediakan sarapan bagi untuk keluarganya. Akhbar mengangguk.

          Bau hidangan nasi lemak yang tersedia di atas meja makan membangkitkan selera Akhbar. Dia memimpin turun kedua-dua kembarnya yang sudah bersiap sedia pagi itu. Ibunya juga telah menunggu di meja makan dengan kerusi rodanya.

“Tengok  nenek dah siap, cantik tak nenek?”, soalnya kepada Haziq dan Hazim. Mereka mengangguk sambil tersengeh.

“Daddy, Haziq nak pergi rumah Atuk ngan Opah nak mandi kolam tau. Hazim sekali”, ujar mulut kecil Haziq. Akhbar tersenyum, bahagia melihat telatah kembarnya yang sudah berusia tiga tahun itu.

Begitulah rutin setiap hari Sabtu bagi Haziq dan Hazim, mandi kolam renang di rumah papa dan mama Sofiah. Akhbar bukan tidak mahu membawa kembarnya berjumpa dengan Ayah De dan Ayah Cu mereka namun mama dan papa Sofiah keberatan untuk mengizinkan, lebih-lebih lagi untuk membawa mereka ke Pusat Serenti yang menempatkan Afif. Akhbar akur, mungkin itu yang terbaik buat kembarnya itu.

“Okeh, jom Haziq, Hazim. Daddy hantar rumah Opah, nak mandi kolam kan? Best lah anak daddy ni nak mandi kolam. Nanti daddy nak mandi juga la kolam dengan anak-anak daddy, boleh?”, ucap Akhbar. 

Haziq dan Hazim pantas mengangguk.
“Ok, jom. Nak daddy belikan apa balik nanti?”, soalnya sambil memakaikan kasut kepada kembarnya.

“Hazim nak mainan robot yang boleh jalan tu”, jawab Hazim.

“Haziq lak nak mainan kereta kebal boleh tak daddy?”, sampuk Haziq.

Akhbar mencium dahi kedua-duanya dengan penuh kasih sayang.
“Nanti daddy, mummy dengan nenek carikan untuk Hazim dan Haziq”, balasnya. 

“Mari cepat, nanti lama Opah tunggu. Nenek dengan Mummy pun kena tunggu lama nanti kalau Hazim dengan Haziq lambat”, sambung Akhbar lagi.

Kedua-dua kembarnya berlari menaiki kereta. Akhbar menoleh memandang Sofiah di muka pintu.

“Abang hantar kembar kita sekejap ye sayang”, ucapnya terus berlalu ke kereta dan menuju ke rumah ibu mertuanya di taman bersebelahan dengan taman perumahannya.
*****************************************************
“Boleh tak sekali along ikut cakap De?”, soal Aizat sebaik sahaja Akhbar melangkah  turun dari kereta. Akhbar memandang Sofiah dan ibu yang masih di dalam kereta itu.
“Kenapa ni, De? Along buat apa pada De?”, soalnya, walaupun sudah faham benar apa yang dimaksudkan oleh Aizat. Aizat mengeluh.

“De tak boleh lah tengok ibu. Kenapa along nak tambah dosa De?”, balas Aizat menyindir.

“De, tak suka ke, benci ke, ibu tetap ibu kita, ibu De. Kenapa De susah sangat nak faham?”, balas Akhbar.

“Faham? Faham along cakap? Along, De bukan macam Along yang boleh lupakan semuanya. De pun tak faham along ni manusia jenis macam mana”, bentak Aizat.

Akhbar menoleh ke arah Sofiah dan membuat isyarat mata agar tidak membawa ibu turun dari kereta lagi, Sofiah mengangguk faham. Akhbar memeluk bahu Aizat dan membawanya berjalan ke tepi tasik.

“Along sebagai seorang anak ada rasa tanggungjawab kepada ibu. Biarlah seteruk mana pun ibu pada masa dulu, dia tetap ibu kita, De. Jangan derhaka pada ibu”. Lembut tutur Akhbar menyampaikannya kepada Aizat, berharap agar Aizat mengerti. Aizat berpaling menghadap air tasik di depannya.

“Along, De rasa terseksa mengingatkan zaman kecil De dulu. Ibu tak pernah ambil tahu pun pasal De. De makan ke, De tidur ke, semua ibu tak ambil kisah. Semua along yang uruskan sampai lah De besar. Apa guna kita ada ibu, Along”, Aizat menyuarakan isi hatinya.

Akhbar menarik nafas panjang. Dia tidak boleh meletakkan kesalahan ke atas adiknya itu dan semestinya dia tidak boleh menyalahkan ibunya seratus peratus. Akhbar memandang jauh ke tengah tasik yang tenang, mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya.
****************************************************
“Along, baju sekolah De dah koyak la. Macam mana ni? De minta kat ibu suruh jahit tapi ibu  cakap nanti ibu jahit, tapi sampai sekarang takde lagi. De sedih la, along”, adu Aizat kepada Akhbar suatu petang. Akhbar menoleh ke arah adiknya.

“Besar ke koyaknya, De? Kalau kecil Along boleh tolong jahitkan. Cuba De pergi ambil baju kat dalam bilik Along nak tengok”, Akhbar membalas.

Aizat berlari masuk ke dalam bilik kemudian keluar semula dengan baju sekolah yang terkoyak di bahagian kocek.

“Oh, ni along leh tolong jahitkan. De tak payah susahkan ibu, ibu pergi menjual, nak bagi belanja sekolah pada kita”. Akhbar memujuk adiknya yang berusia lapan tahun waktu itu.

“Along, ibu tu tak sayangkan De ke? De jarang jumpa ibu. Ibu asyik sibuk je”, tanya Aizat.

Akhbar yang sedang menjahit baju Aizat tersenyum. “Sebab ibu sayang kita lah ibu sibuk macam tu. Ibu sibuk sebab ibu cari duit. Kenapa ibu cari duit? Untuk belanja De jugak, betul tak?”, Aizat diam, tiada anggukan atau gelengan darinya.
*******************************************
“Along, minggu depan Along tak payah lawat De la. De nak balik rumah Makcik Maimun minggu depan”, suara Aizat menghentikan lamunan Akhbar. Akhbar tersenyum.

“De nak pergi naik apa? Motor De tu? Kalau hujan?”; duga Akhbar.

Aizat menggeleng, “Tak la. Makcik nak ambil Aizat kat sini”. Balas Aizat.

“De, along tak pernah halang apa yang De nak buat tapi satu je along minta dengan De. De tolonglah hargai ibu macam De hargai along dan Makcik Maimun”, ucap Akhbar memandang tepat ke wajah Aizat. Aizat tunduk. 

“Ibu tetap ibu kita. Bagi along, takde salahnya ibu mendidik kita dulu. Along tahu jauh di sudut hati ibu nak tengok anak-anak dia hidup macam budak-budak lain, yang mampu beli apa saja. Mungkin niat baik ibu tu membuatkan ibu terlupa bahawa kita juga perlu kasih sayang dia. Tapi itu bukan salah ibu. Sebagai anak, kita harus faham keadaan ibu. Mari lah De, jumpa ibu sekejap, cium tangan ibu. Along pun tak lama ni. Nak pergi tengok Afif pula”, Akhbar berlalu meninggalkan Aizat di situ. 

Aizat melepaskan keluhan berat dan melangkah mengikuti langkah abang sulungnya.

          Aizat mencium tangan ibunya yang masih duduk di dalam kereta. Ibu tersenyum, entah ingat entah tidak ibu kepada Aizat, disebabkan penyakit nyanyuknya itu. Akhbar yang dilihat hari-hari ini juga boleh ibu lupa, apatah lagi Aizat yang hanya bertemu seminggu sekali, itu pun cuma sebentar. 

“Along balik dulu. Kalau tak cukup duit belanja, jangan malu nak mintak kat along. Along tak nak De pinjam dengan orang lain”, pesan Akhbar kepada Aizat. 

Aizat mengangguk lalu mencium tangan Akhbar, kemudian bersalaman dengan kakak iparnya, Sofiah. Kereta toyota Estima putih milik Akhbar meluncur laju meninggalkan Aizat, yang masih berdiri di tepi kaki lima.
*****************************************************
Sewaktu kereta Akhbar meluncur laju ke Sungai Besi, telefon bimbitnya berbunyi, tertera nombor telefon pejabat pusat serenti yang menempatkan Afif di sana. Akhbar pantas menekan punat terima di telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum Along”, terdengar suara garau Afif di corong telefon. 

“Waalaikumsalam, Afif. Kenapa dik? Along on the way ke sana sekarang”, balas Akhbar.

“Jauh dah ke along? Afif nak bagitau along tak payah datang lah minggu ni. Afif ada program lah Along hari ni. Entah program apa entah. Nanti along lak dah sampai sini kena patah semula”, ujar Afif.

“Oh, yeke. Takpe lah kalau macam tu. Along pun baru je gerak dari Shah Alam ni, tengok De. Kalau macam tu minggu depan Along pergi sana bawak ibu. Afif jaga diri”, ucapnya sebelum meletakkan telefon. Dia menoleh ke arah Sofiah di sisinya.

“Afif ada program pusat hari ini. Tak jadi lah kita pergi sana. Kita balik rumah mama jelah, main dengan kembar”, Akhbar memberi cadangan, Sofiah tidak membantah namun dia diam seribu bahasa.

“Kenapa sayang?”, soal Akhbar.

“Hmm, abang takkan tak tahu. Mama mana suka abang bawak ibu abang pergi sana”, antara dengar dengan tidak suara Sofiah.

“Habis tu, macam mana? Nak hantar ibu ke rumah dulu? Apa salahnya kita bawa ibu, bukan selalu”, pinta Akhbar.

Sofiah menggeleng.

“Kalau susah sangat tak payah pergi lah, abang. Biar Sofiah drive sendiri ambil kembar petang nanti”, Sofiah menarik muka masam.

Akhbar tidak bersuara. Dia memandu laju menuju ke rumah mereka di Andalas.
Sesampai sahaja di rumah Sofiah terus masuk ke rumah tanpa memandang wajah Akhbar. Akhbar menarik nafas, menenangkan jiwanya sendiri.

“Ibu, mari turun, dah sampai”, lembut suara Akhbar memberitahu ibunya.

Ibu terpinga-pinga, mungkin sedang mengingati di mana dia sekarang.

“Dah sampai rumah kita, ibu”, ujar Akhbar tersenyum. Ibu mengangguk.
******************************************************************
Malam itu Akhbar tidak dapat tidur, dia berdiri di halaman rumah, menghadap kepekatan malam. Hatinya tidak tenang memikirkan apa yang berlaku dalam keluarganya kini. Adik ketiganya masih lagi tidak dapat menerima ibu dalam hidupnya, begitu juga dengan keluarga mertuanya. Perkara yang paling merunsingkan Akhbar ialah isterinya sendiri yang tidak sedikit pun pernah memihak kepadanya mengenai soal ibu. Seingat Akhbar, 5 tahun usia perkahwinan mereka, hanya 2 tahun pertama sahaja hubungan Sofiah dengan ibu rapat. Sejak ibu di sahkan menghidap penyakit Alzheimer, Sofiah mula berubah. Sofiah lebih gemar memaksa Akhbar mengikut kemahuan mama Sofiah untuk menghantar ibu ke rumah orang-orang tua.

Tetapi Akhbar tetap dengan keputusannya. Biarlah tiada siapa yang memihak kepadanya soal ibu, biarlah tiada sesiapa menyokongnya menjaga ibu dan biarlah tiada siapa menyukainya kerana membela ibu, Akhbar tidak kisah. Akhbar tidak mahu menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Akhbar yakin, Allah Maha Mengetahui hamba-Nya. Biarlah semua orang membenci sikapnya yang mementingkan ibu dari perkara lain, Akhbar tidak peduli lagi.

“Ibu tetap ibuku dunia akhirat”, bisik hati kecil Akhbar. 

Dia menarik nafas sedalamnya kemudian menghembus lembut. 

“Along akan jaga ibu sampai bila-bila”, sambungnya lagi. Dia mendongak ke langit tinggi.

“Aku bahagia begini...”, katanya perlahan. Titisan jernih mengalir di pipinya.


-TAMAT-