Anak Setinggan

Yazman bersandar di jendela kayu rumahnya sambil menghabiskan separuh lagi rokoknya yang masih berbaki malam tadi. Seawal enam pagi dia sudah pun bersiap untuk ke tempat kerja yang terletak agak jauh dari rumahnya. Matanya yang sepet itu kelihatan seakan terpejam, mungkin tidak cukup tidur agaknya. Kepenatan bekerja setiap hari menggantikan tugas arwah ayahnya mencari nafkah hidup membuatkan tubuh Yazman yang dahulunya agak berisi menjadi sekurus lidi. Urat-urat di tangannya seakan mahu merangkak keluar dari kulit nipis itu. Mata Yazman memandang tepat ke arah parit di tepi rumahnya. 

Bunyi riuh kanak-kanak sudah mula kedengaran sejak awal pagi tadi, bermandi manda penuh gembira di parit yang kehijauan airnya. Tidak sampai sedepa dari kanak-kanak itu, Yazman memerhati pula sekumpulan itik menyudu air di tepi sampah sarap yang seakan berpesta terapung mengisi ruang kosong parit itu. Yazman menggeleng perlahan, menyesali nasib dirinya yang tinggal di kawasan seperti itu, yang di anggap seperti lubang sampah bagi segolongan manusia. 

Yazman memerhati pula rumah-rumah usang di sekeliling rumahnya. Papan yang dibuat dinding mula reput di makan anai-anai, sama seperti rumahnya. Lantai juga seakan tempat paling berbahaya untuk di pijak. Sekali tersalah pijak, terjerumus lah kaki ke dalam belukar di bawah rumah, tempat serangga berbisa membuat sarang. Pernah sekali ibunya di sengat lipan apabila kakinya terjerelus ke bawah, terpijak lantai yang rapuh. Namun, apa yang mampu Yazman lakukan. Dia hanya mampu membawa pulang kayu-kayu dan papan dari tempat kerjanya untuk menutup kembali lubang sebesar kawah di lantai rumahnya. Yazman mengeluh, daif sungguh terasa hidupnya. 

“Along, cepat makan. Nanti lambat ke tempat kerja”, suara lembut ibu membuatkan Yazman berpaling. 

Dia mengorak langkah ke tikar buluh usang di tengah rumah. Dilihatnya ubi kayu rebus bersambalkan ikan bilis sudah sedia terhidang.

“Ibu, adik mana? Tak sekolah ke dia hari ni?”, soal Yazman sebaik sahaja menyuap secubit ibu kayu ke mulutnya penuh lahap.

“Dia tak mahu ke sekolah. Malu katanya, kasut sekolah dia dah koyak, kawan-kawan dia dah berbunyi mengejek”, balas ibu perlahan.

Kunyahan Yazman terhenti. Nafas ditarik panjang. Kalau di ikutkan hati, mahu sahaja di maki adik perempuannya itu, memberi alasan yang tidak masuk akal semata-mata tidak mahu ke sekolah. Yazman tidak mahu satu-satunya adik kesayangan mengikut jejaknya, tidak lagi bersekolah pada usia semuda ini. 

Seingat Yazman, dia sudah mula bekerja di kilang papan itu sejak berumur 13 tahun, seusia adiknya kini. Namun, alasannya kukuh untuk tidak kesekolah memandangkan dia kini bergelar ketua keluarga, menggantikan ayahnya. Tetapi adik, wajib meneruskan pelajaran untuk mengubah nasib keluarga mereka. 

“Jangan salahkan Yasmin, Along. Dia tu perempuan, Along kena faham”, ujar ibu lagi.

Kata-kata ibu ada benarnya. Yazman tidak boleh terus menerus menyalahkan Yasmin atas sikapnya itu. Namun, pelajaran tetap penting baginya.

“Ibu, biar Along cakap dengan adik sekejap ye”, Yazman lantas bangun ke bilik adiknya.

Pintu bilik di ketuk. Setelah mendengar suara adiknya menyuruh masuk, dia menguak perlahan pintu itu. Kelihatan Yasmin sudah berpakaian sekolah namun masih bertenggek lesu di tilamnya.

“Adik, pergi sekolah dulu ye. InsyaAllah, Along dapat gaji bulan ni, Along janji kita pergi beli kasut sekolah baru ye. Adik jangan macam ni. Biar ape orang nak kata tentang kita, yang penting kita tak buat jahat dengan orang”, suaranya memujuk.

Tambah Yazman lagi, “Adik buktikan anak-anak orang susah macam kita ni mampu atasi kejayaan orang-orang yang lebih kaya dari kita. Adik harapan Along dan ibu. Adik kena kuat. Along akan usahakan apa yang termampu untuk keluarga kita. Yang penting adik kena belajar”.

Yasmin memandang tepat ke wajah Yazman. Air matanya bergenang, menahan hiba yang semakin mengusik jiwa. Hanya kepalanya sahaja yang mengangguk perlahan. Tangannya terus mencapai beg sekolah yang sudah lusuh dan mengorak langkah mencium tangan ibunya. Kasut yang sudah rabak di muncung di sarung penuh hiba. Kakinya melangkah keluar dari rumah tanpa mulutnya berbicara walau sepatah kata.

Ibu memandang Yazman di sisinya, Yazman mengangguk perlahan, mengukir senyuman di bibirnya yang agak gelap itu.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Bos, ini hari kalau ada overtime, saya mahu ambil”, ujar Yazman sebaik sahaja terlihat kelibat Mr. Chong menghampirinya.

“Haiya, manyak rajin ini orang. Lu pekerja saya yang sangat bagus. Lu mahu overtime, tiap-tiap hari lu boleh overtime maa. Satu hari 3 jam. Kira itu macam biasa la, satu jam lima ringgit”, balas Mr. Chong sambil menepuk bahu Yazman.

“Terima kasih Mr. Chong. Terima kasih”, balas Yazman gembira.

Dia kembali menyambung kerjanya tadi.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Lambat Along balik hari ni. Pukul 9 baru sampai rumah”, sapa ibu yang sudah setia menunggu di muka pintu. 

Yazman tersenyum mesra sambil mencium tangan ibunya penuh hormat. 

“Along buat kerja lebih masa sikit, ibu. Along nak cari duit lebih untuk kita anak beranak. Lagipun along nak belikan kasut sekolah baru untuk adik”, balas Yazman.

Ibu hanya mengangguk mengiyakan kata-kata Yazman tadi.

“Marilah kita makan. Sejuk dah ikan kering tu”, tambah ibunya.

“Marilah ibu makan sekali”, balasnya lembut.

“Ibu dah makan tadi dengan Yasmin. Along makan lah. Ibu nak baring dulu lah, ye Along. Rasa macam tak sedap badan je ibu ni”. Ibu segera bangun berlalu ke biliknya.

Yazman tidak segera berganjak, masih diam di muka pintu. Tidak tahu apa yang di nanti dan di carinya. Ingin menghirup udara segar, hanya bau longkang dan parit sahaja yang menerpa masuk ke hidungnya. Ingin mencari sedikit kesunyian malam, terlalu bising dengan bunyi nyamuk dan unggas yang sudah mula menjalankan tugas mereka. Yazman mengeluh. Mungkin yang di carinya adalah kehidupan, kehidupan yang lebih selesa berbanding kehidupan yang telah diharunginya sejak berbelas tahun ini.

Yazman mendongak ke langit, memandang kepekatan malam yang tidak berbintang. Rumah-rumah usang di sekelilingnya juga seakan sudah sepi. Hanya kelihatan samar-samar lampu pelita di sebuah dua rumah, termasuk rumahnya.

Setinggan, menjadi nyawa kehidupannya di sebalik keriuhan dan hiruk pikuk kota. Setinggan yang memberi terlalu banyak kenangan dalam dirinya. Dan setinggan yang melihat suka duka kehidupannya. 

“Aku anak setinggan yang berusaha mencari kehidupan yang lebih sempurna”, getus hati kecil Yazman.

-TAMAT-